Monday, May 11, 2020

TENANG DI TENGAH BADAI

Oleh, Pta. Dr. Nellson Maisin

Shalom! Dalam nama Tuhan kita Yesus Kristus yang oleh kerana kasih dan kuasa-Nya kita masih dapat menjalani hidup pada hari ini. Tema gereja kita pada bulan Mei 2020 ialah Menghadapi Badai Hidup. Pada hari Ahad yang lalu saya telah menyampaikan firman Tuhan melalui ibadah online tentang sub tema Tenang Di Tengah Badai. Saya menulis artikel ini sebagai rujukan bertulis khutbah yang telah saya sampaikan. Mari kita pelajari bersama petikan alkitab di dalam Matius 8:23-27 (TB) tentang kenapa kita harus tenang di tengah badai

“23 Lalu Yesus naik ke dalam perahu dan murid-murid-Nya pun mengikuti-Nya. 24 Sekonyong-konyong mengamuklah angin ribut di danau itu, sehingga perahu itu ditimbus gelombang, tetapi Yesus tidur.25 Maka datanglah murid-murid-Nya membangunkan Dia, katanya: "Tuhan, tolonglah, kita binasa." 26 Ia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu takut, kamu yang kurang percaya?" Lalu bangunlah Yesus menghardik angin dan danau itu, maka danau itu menjadi teduh sekali. 27 Dan heranlah orang-orang itu, katanya: "Orang apakah Dia ini, sehingga angin dan danau pun taat kepada-Nya?"

Menjadi orang Kristian bukan bererti kita bebas daripada sebarang permasalah hidup. Kehidupan kita di dunia yang fana ini adalah seperti satu pelayaran untuk ke seberang sana iaitu ke dunia yang abadi. Selama kita di dalam pelayaran ini, sewaktu-waktu badai akan melanda. Badai itu mungkin penyakit yang dideritai atau ancaman penyakit yang berbahaya seperti Covid-19, masalah pekerjaan dan kewangan, konflik di dalam keluarga, kehilangan harta benda atau orang yang tersayang, sekataan pergerakan seperti yang sedang berlaku sekarang dsbg. Kita mungkin tidak boleh menghalang, menentukan jenis dan mengawal kekuatan badai yang melanda, tetapi kita boleh menentukan sikap kita ketika menghadapi badai. Firman Tuhan yang kita baca pada hari ini memberitahu kita beberapa kebenaran yang kita perlukan untuk tetap tenang ketika badai hidup melanda.

Kebenaran pertama yang perlu kita sedari ialah Tuhan menyertai kita di tengah badai. Perhatikan ayat 23, ketika menaiki perahu, Yesus naik terlebih dahulu kemudian diikuti oleh murid-murid-Nya. Alkitab mengajar kita bahawa sebagai orang percaya, hidup kita bukannya kita lagi melainkan Kristus yang hidup di dalam kita (Galatia 2: 20). Secara ringkasnya ayat ini memberitahu kita bahawa kehidupan sebagai orang Kristian ialah hidup di dalam pimpinan Tuhan. Tidakkah Yesus mengtahui bahawa di tengah pelayaran bersama para murid-Nya akan ada badai yang melanda? Sudah tentu Yesus tahu, tetapi badai yang melanda tidak pernah mengubah hakikat bahawa Tuhan menyertai kita. Di tengah badai Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, Tuhan ada bersama kita dan bahkan sedang memimpin hidup kita.

Kebenaran kedua yang kita perolehi dari petikan alkitab yang kita telah baca ialah ketika badai melanda datanglah kepada Tuhan. Seperti murid-murid Yesus, sifat semulajadi manusia kita akan berasa cemas dan takut apabila berhadapan dengan masalah dan kesulitan. Persoalannya ialah kepada siapakah kita harus mengadu dan bergantung harap? Ramai orang Kristian yang mencari penyelesaian di luar Tuhan. Mereka berusaha mencari jawapan dan penyelesaian dengan cara yang tidak memuliakan Tuhan. Semenatara yang lain berusaha dengan kekuatan sendiri untuk menangani badai lalu keletihan dan menjadi putus asa. Tidak sedikit yang mengambil jalan singkat mengakhiri hidup dengan sia-sia. WHO melaporkan bahawa di seluruh dunia, kematian akibat bunuh diri ialah seorang setiap 40 saat.

Ayat 25 memberitahu kita bahawa ketika badai melanda, murid-murid Yesus datang kepada-Nya dan memohon pertolongan. Tuhan memang menyertai kita, tetapi jika engkau tidak mengambil tindakan iman untuk datang kepada-Nya dan memohon pertolongan, Tuhan mungkin tidak akan berbuat apa-apa untukmu. Jika kita benar-benar murid Yesus, kita tidak akan ada keraguan untuk datang kepda-Nya. Itulah sebabnya amat penting sekali bagi kita untuk sentiasa memelihara hubungan yang intim dengan Tuhan melalui pembacaan firman Tuhan, doa dan penyembahan kepada-Nya. Hanya dengan cara demikian kita dapat mengenal isi hati dan mengetahui kehendak-Nya bagi kita.

Kebenaran yang ketiga di dalam pembacaan kita pada hari ini ialah Tuhan lebih besar daripada badai apa pun yang melanda hidup kita. Di dalam ayat 24, alkitab mencatatkan bahawa ketika badai melanda, Yesus sebenarnya sedang tidur. Bagaimana Yesus boleh tertidur di tengah badai? Jawapannya mudah, Yesus Kristus ialah Tuhan yang gagah perkasa. Tuhanlah perlindungan dan kekuatan kita. Di dalam Mazmur 46: 10, TUHAN berkata, “Be still and know that I am God.” (ASV). Diamlah atau jadilah tenang dan ketahui bahawa Aku TUHAN. Yesus Kristus menunjukkan keTuhanan-Nya dengan bangun dan menengking angin dan ombak. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali (ayat 26).

Saudara-saudari, para jemaat yang dikasihi Tuhan, apa pun badai yang sedang melanda hidupmu saat ini, tetaplah tenang di dalam Tuhan kita Yesus Kristus. Di dalam pembacaan kita pada hari ini, Yesus telah menenangkan badai yang melanda sehingga hal itu telah menghairankan murid-murid-Nya (ayat 27). Tuhan mungkin tidak memberikan jawapan yang sama di dalam setiap permasalahan yang kita hadapi. Tuhan memang menolong, tetapi pertolongan-Nya tidak selalu dalam bentuk dan pakej yang kita kehendaki. Pertolongan-Nya juga tidak selalu hadir pada waktu yang kita harapkan. Semuanya harus terjadi sesuai dengan kehendak dan rancangan-Nya sendiri.

Satu hal yang pasti, Tuhan sangat mengerti dan mempedulikan kita. Apa pun yang terjadi di dalam hidup kita, itu tidak akan mengubah hakikat bahawa kita anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya. Sebagai orang-orang beriman, kita hanyalah pengembara di bumi ini yang sedang mencari negeri tanahair kita. Kita tidak selalu memikirkan tentang hal-hal di dunia ini. Sebaliknya kita merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga (Ibrani 11: 13-16). Kiranya berkat kasih Bapa, anugerah Tuhan kita Yesus Kristus dan persekutuan Roh Kudus menyertai kita sampai selama-lamanya. Amin.

2 comments:

Neslie Santi said...

Terima kasih perkongsian FT yg sangat memberkati dn menguatkan. Tuhan memberkati.

Joephine said...

Disaat badai bergelora...bapa kau Raja atas semesta ku tenang sbb kau Allahku..tq FT yg memberkati...