Thursday, May 21, 2020

SEMAKIN KUAT DAN BERAKAR DI TENGAH BADAI

Oleh Pta. Ulik Likud

CERITA INSPIRASI

Saya mulakan perkongsian dengan menceritakan satu kisah tentang pertandingan menjatuhkan monyet dari pokok oleh Puting Beliung, Ribut Taufan dan Angin Lembut. Puting Beliung berkata, “Saya sangat kuat. Dengan mudah saja saya akan menjatuhkan monyet itu dari pokok.” Lalu Puting Beliung pun bertiup kencang. Namun menyedari hal itu, sang monyet semakin berpegang erat pada pokok sehingga sekuat mana pun Puting Beliung bertiup, monyet itu tetap bertahan dan bahkan semakin erat berpaut pada pokok. Kemudian Ribut Taufan pula berkata, “Sekarang giliran saya. Pasti monyet itu akan terjatuh oleh saya.” Lalu Ribut Taufan pun mula melanda dengan dasyat. Tetapi sang monyet semakin erat berpaut pada pokok dan tidak terjatuh.

Akhirnya tiba giliran si Angin Lembut. Belum sempat dia berbuat apa-apa, Puting Beliung dan Ribut Taufan mentertawakannya. “Janganlah kau menyusahkan diri, sedangkan oleh kami pun monyet itu tidak terjatuh, apa lagi dengan kamu.” Namun si Angin Lembut membalas dengan lembut, ”Apa salahnya mencuba.” Lalu dia mula bertiup dengan sepoi-sepoi bahasa. Sang monyet berasa nyaman dan terbuai. Oleh kerana kenyamanan Angin Lembut maka sang Monyet terlena lalu terjatuh dari pokok. Demikianlah cerita ini memberi kita inspirasi bahawa badai yang melanda seharusnya akan membuat kita semakin kuat.

BACA KISAH AYUB DALAM ALKITAB

Di tanah Us ada seorang lelaki bernama Ayub. Dia seorang yang saleh dan jujur. Dia takut akan Allah dan menjauhi kejahatan. Dia mempunyai  7 orang anak lelaki 3 orang anak perempuan. Dia memiliki ternakan yang banyak dan seorang yang kaya bahkan yang terkaya dari semua orang di sebelah timur tanah Us. Anak-anak lelakinya pula bergilir-gilir mengadakan pesta dan mengundang ketiga-tiga saudara perempuan mereka. Setiap kali sesudah selesai pesta, keesokan harinya Ayub akan bangun awal pagi dan mempersembahkan korban bagi setiap anaknya untuk menyucikan mereka. Dia sentiasa berbuat demikian kerana pada fikirannya, mungkin salah seorang daripada mereka telah berdosa dan menghina Allah dengan tidak sengaja.

Pada suatu hari makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN, dan Iblis juga bersama mereka. TUHAN bertanya kepada Iblis jika dia telah memperhatikan Ayub. TUHAN berkata bahawa di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Tetapi Iblis menjawab bahawa jika segala miliknya diambil, tentu dia akan mengutuk TUHAN. Kemudian TUHAN berfirman, “Baiklah, lakukan apa saja dengan segala miliknya, asal engkau tidak membinasakan Ayub.”  Lalu Iblis beredar dari situ dan telah memperlakukan kepada Ayub seperti yang tecatat di dalam alkitab. Badai yang dahsyat menimpa Ayub. Anak-anak dan kekayaannya telah dimusnahkan. Bahkan lebih teruk lagi, Ayub menderita penyakit kudis di seluruh tubuhnya. Hanya TUHAN tidak izinkan Iblis membunuhnya.

Setelah Ayub kehilangan semua anak dan harta miliknya, dia berdiri dan mengoyakkan pakaiannya kerana kesedihan. Dia mencukur rambutnya dan bersujud. Dia berkata, “Aku dilahirkan tanpa apa-apa, dan aku akan mati tanpa apa-apa juga. TUHAH yang memberikan dan sekarang TUHAN pula yang mengambil semula. Terpujilah nama-Nya.” Sungguhpun segala peristiwa itu telah berlaku, Ayub tidak berdosa dan tidak menyalahkan TUHAN. (Ayub 1: 20-21)

SEMAKIN  KUAT DAN BERAKAR DI TENGAH BADAI

1. Mengerti Tuhan Menopang Saat Mengharungi Badai

Badai dalam kehidupan Ayub bukan hanya kehilangan anak-anak, harta benda dan mengalami penyakit tapi sindiran dari isterinya. Kata isterinya, "Masih bertekunkah engkau dalam kesalehanmu? Kutukilah Allahmu dan matilah!" Tetapi Ayub menjawab, “Engkau berbicara seperti orang gila! Apakah kita menerima yang baik dari Allah, tetapi tidak mau menerima yang buruk?” Namun Ayub tidak berdosa dengan bibirnya (Ayub 2: 9-10). Para sahabat rapatnya juga menuduh dia bahawa penderitaan yang dialaminya itu adalah disebabkan oleh dosa yang telah dilakukannya. 

TUHAN mengizinkan iblis mencubai Ayub justeru untuk menyatakan kekuatan iman dan pengertian Ayub bahawa Tuhan menopang hidupnya. Semakin badai menimpa semakin dia berpegang teguh dengan keyakinan bahawa Tuhan lebih mengerti dan berhak berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendak dan rencana-Nya sendiri. TUHAN bertujuan untuk memperlihatkan hasil daripada proses yang Ayub alami dalam hidupnya.

2. Mengerti Badai HANYA Melukai Tubuh, Tetapi BUKAN Jiwa

Ayub mengerti bahawa badai hidup yang menimpa hanya setakat pada tubuhnya. Meskipun tubuhnya semakin lemah, tetapi Jiwanya tetap kuat dan bahkan semakin kuat di dalam Tuhan. Badai dalam hidup kita tidak lebih daripada apa yang sudah dialami oleh Ayub. Pandemik  Covid- 19 yang sedang melanda pada saat ini telah memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia di seluruh dunia. Ia telah mengganggu kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Ia bahkan telah meragut ratusan ribu nyawa. Tetapi sebagai orang-orang percaya, itu semua hanya setakat pada tubuh, tetapi tidak mampu mengapa-apakan jiwa kita. Sekalipun nyawa kita melayang, jiwa kita tetap aman bersama Tuhan.

Secara statistiknya lebih ramai orang menghadapi kematian di atas tempat tidur daripada mati di atas pesawat. Tetapi hakikatnya lebih ramai orang yang takut mati ketika menaiki pesawat daripada takut mati kerana menaiki tempat tidur. Perbezaannya hanyalah pada logik pemikiran. Takut menaiki pesawat itu lebih logik berbanding takut menaiki tempat tidur. Berita baiknya ialah Tuhan TETAP mengawal semua keadaan. Tuhan hanya mahu mendisiplinkan kita agar kita mengerti dan semakin kuat di dalam-Nya.

3. Mengerti Hanya Tuhan Yang Dapat  Menyelesaikan Kesulitan

Isteri Ayub yang sangat rapat dan dekat di hatinya pun tidak mengerti kenapa Ayub menderita, bahkan menyuruh Ayub mengutuki Tuhan. Para sahabatnya pula memberi motivasi yang salah. Mereka menyangka penderitaan Ayub adalah kerana dosanya. Manusia cenderung mengaitkan penderitaan dengan dosa. Mengaitkan kemiskinan dengan kutukan. Bagaimana dengan janda miskin yang disebut di dalam Alkitab? Apakah dia miskin kerana dosa?.

Penilaian dan penghakiman manusia tidak menentukan siapa, bagaimana dan apa kesudahan hidup kita. Tuhan lebih mengerti dan dialah jawapan bagi setiap permasalahan yang kita hadapi. Janganlah kita terlalu cepat menghakimi seseorang berdasarkan apa yang kita lihat kerana di mata Tuhan dia mungkin lebih baik berbanding kita. Lee Kuan Yew pernah berkata, “Ini peribahasa Tionghoa, jangan menghakimi atau mengukur manusia hingga anda menutup peti matinya. Tutup peti mati dan kemudian analisis.”

Tuhan akhirnya memulihkan keadaan Ayub. Bahkan Tuhan memberi dua kali lipat berbanding kepunyaannya dahulu. Tuhan memberkatinya semula dengan 7 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan yang tercantik di negeri itu. Ayub telah hidup 140 tahun lagi dan meninggal pada usia tua (Ayub 42: 7-17). Apa pun badai yang melanda hidup kita, teladanilah ketaatan Ayub. Tetaplah berpaut pada Tuhan kerana hanya Dia yang dapat menyelesaikan kesulitan yang kita hadapi.

No comments: