Saturday, June 6, 2020

MENGHARUNGI BADAI BAGAI RAJAWALI



Oleh Dkn. Frances Delinting

PENDAHULUAN

Pandemik Covid-19 yang sedang membadai hampir di serata dunia ketika ini telah mengejutkan manusia betapa dasyatnya kesan pukulan yang telah menimpa kepada setiap mangsanya. Kita juga mendengar bermacam-macam kaedah yang diamalkan samada berupa kawalan ataupun rawatan bagi membendung gelombang penularannya. Hal ini memberi wake up call kepada kita betapa gerunnya impak yang yang melanda. Sementara vaksin masih dalam kajian dan belum berjaya dihasilkan, selama itulah manusia perlu hidup dengan berwaspada, bak slogan-slogan dalam media seperti #StaySafe, #StayAtHome, #StayAlert dan sebagainya.

Gereja juga tidak terkecuali mengalami impak daripada SOP kawalan pergerakan, sosial distancing dan peningkatan tahap kebersihan diri diperkenal sebagai langkah yang harus dipatuhi dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat bagi membendung penularan. Keadaan ini menyebabkan semua gedung tumpuan awam, khususnya gedung-gedung keagamaan seperti gereja, tokong, kuil, mahu pun masjid serta surau-surau menjadi kosong.

Sebagai orang percaya, apakah tanggapan kita terhadap badai seumpama ini? Apakah respon iman yang harus dilakukan? Apakah perbezaan ketara bagi orang percaya dalam menangani badai hidup berbanding mereka yang di luar sana? Alkitab mencatatkan, Ayub pernah mengalami masa-masa yang paling sukar, membadai hampir seluruh kehidupannya. Tetapi Ayub nemilih untuk tetap setia di dalam TUHAN. Sesuatu yang menarik untuk diteliti ialah kekuatan nadi ketabahannya untuk kekal taat. Ternyata Ayub mempunyai pandangan yang tepat tentang hikmat dan kedaulatan TUHAN.

Yesaya 40:31 (AVB) “Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu”. Saya mengajak teman-teman seiman untuk merenung sejenak tentang hikmat kebesaran ciptaan TUHAN daripada seekor burung rajawali menanggapi badai, mengharungi badai seperti yang dibicarakan oleh tokoh-tokoh iman di dalam Alkitab. Sebagai manusia yang memiliki anugerah akal fikiran melebihi ciptaan yang lain, kita lebih berhikmat untuk mengolah setiap rahsia yang terkandung. Bagaimanakah kita dapat mengharungi badai bagai rajawali?

1. PANDANGAN YANG JELAS

Ayub 39:29 (AVB) “Dari situ ia mengintai makanannya, matanya memandang dari jauh.” Salah satu keistimewaan pada burung rajawali ialah ketepatan deria penglihatan sejauh 2 kilometer jaraknya. Sesuatu yang sukar dilihat oleh makhluk lain termasuk manusia. Sudah tentu dengan kelebihan ini, burung rajawali tidak begitu sulit mencari mangsanya berbanding pemangsa lain sebab dia boleh merancang strategi lebih awal sebelum kehadirannya dikesan. Demikian juga halnya ketika badai melanda. Dengan ketajaman penglihatan, burung rajawali dapat mengetahuinya lebih awal dan dapat melakukan persiapan untuk mengharunginya. Pemusatan dan sudut arah akal fikiran kita menanggapi badai hidup dan cara meresponinya amat ditentukan oleh skop mata kita melihat sesuatu fenomena. Ia dapat dilihat melalui ragam, reaksi serta cara manusia menghadapi sesuatu badai hidup.

Menurut injil Matius 6:22 “Mata adalah pelita tubuhJika matamu baik, teranglah seluruh tubuhmu.” Sementara Mazmur 119:105 “Firman-Mu itu pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku.” Dari kedua-dua petikan alkitab ini, ternyata bahawa pencahayaan itu amat penting sekali untuk membolehkan kita melihat dengan jelas. Kita tidak dapat mengharungi badai dalam gelap. Tanpa cahaya kita akan teraba-raba; hanya dapat menjangka tanpa ada pautan yang kukuh. Kita memerlukan penglihatan yang tajam dan hanya Firman Tuhan sebagai pelita (terang) yang dapat memberi kita kekuatan iman untuk tetap berpaut pada janji-janji-Nya. Oleh kuasa firman-Nya kita mampu bertahan dan membawa kita keluar dari badai hidup.

2. DIPULIHKAN DALAM HADIRATNYA

Ayub 39:28 (TB) (39-31) “Ia diam dan bersarang di bukit batu, di puncak bukit batu dan di gunung yang sulit didatangi.” Pemilihan tempat bersarang adalah satu kriteria yang diutamakan oleh seekor burung rajawali ketika merencanakan pembuatan tempat perteduhan. Keselamatan anak-anaknya ketika ditinggalkan amat dititik beratkan. Risiko daripada para pemangsa lain perlu diminimumkan sedapat mungkin. Di celah-celah bukit batu yang tinggi adalah pilihan yang paling tepat baginya. Tempat ini juga sangat sesuai bagi membolehkannya melalui proses transfomasi yang harus dilalui oleh setiap burung rajawali jika ingin mencapai umur maksimum sehingga 70 tahun.

Pada usia 40 tahun, burung rajawali perlu melalui proses yang sangat menyakitkan. Paruhnya yang melengkung hampir ke leher menyukarkannya untuk mengoyakkan makanan. Ia harus dipatahkan dengan mematuk-matukkannya pada bebatuan bukit. Begitu juga dengan cakarnya yang sukar untuk menangkap mangsa. Ia perlu ditanggalkan untuk memperoleh cakar yang baru. Bulu yang semakin menebal dan berat menyukarkan pergerakannya. Dia perlu mencabutnya untuk membolehkan bulu yang baru tumbuh. Suatu proses yang sangat menyakitkan dan menempatkan dirinya dalam keadaan berisiko. Sebab itulah dia memerlukan sarang yang ‘sulit didatangi’, iaitu di celah bebatuan bukit yang tinggi sebagai tempat perlindungan selama 150 hari proses transfomasi ini berjalan.

Mazmur 23:6 (TB) “Kebajikan dan kemurahan belaka akan mengikuti aku, seumur hidupku; dan aku akan diam dalam rumah TUHAN sepanjang masa.” Dalam kehidupan Kristian, hadirat TUHAN adalah nadi kekuatan, sumber ketenangan dan perlindungan kerana di situlah kebajikan TUHAN serta kemurahanNya sentiasa mengalirTUHAN Yesus telah meletakkan satu dasar kehidupan sebagai teladan, iaitu persekutuan dengan BAPA sebagai suatu perkara yang menjadi keharusan bagi-Nya.

Markus 6:46 (TB) “Setelah Ia berpisah dari mereka, Ia pergi ke bukit untuk berdoa.” Hadirat-Nya hanya dapat kita temui ketika kita mengasingkan diri di tempat teduh atau private place (bukit) yang jarang dikunjungi oleh orang ramai. Ketika kita berdialog melalui keluhan-keluhan hati yang terdalam (yang suami/isteri/anak-anak sebagai orang terdekat pun mungkin belum pernah mendengar), TUHAN semesta alam akan membalas dengan rhema (Firman) sehingga ada letusan kuasa, semangat baru dan inspirasi yang menjurus kepada pemulihan.

Yesaya 40:31 (AVB) “Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu.” Nabi Yesaya dalam petikan ini telah menggambarkan maksud 'kekuatan baru’ melalui seekor burung rajawali, iaitu kekuatan yang dihasilkan melalui proses-proses pembentukan yang cukup perit, memaksanya locked down selama kira-kira 5 bulan sehingga ia pulih kembali dan meneruskan hidup selama 30 tahun lagi. Di sudut positif tentang kedaulatan TUHAN, badai pandemik Covid-19 ini telah mengajar kita untuk menghormati TUHAN dan menghargai masa bersama keluarga yang mungkin jarang dilakukan sebelum ini.

3. HADAPI BADAI, JANGAN MENGELAK

Tidak seperti burung-burung lain yang panik mencari tempat perlindungan, rajawali tenang menunggu kedatangan badai. Setelah mengamati arah datangnya angin badai dengan visinya, sang rajawali yang sudah bersedia hanya mengembangkan sayapnya dan meluncur di udara. Semakin kuat ribut melanda, semakin tinggi ia naik ke udara tanpa perlu mengerah tenaga untuk mengepakkan sayapnya. Cukup hanya dengan melayang ke arah angin yang bertentangan dan mengembangkan sayap dengan selebar-lebarnya. Bagi rajawali, kekuatan badailah yang diperlukannya untuk terbang bebas dan lebih tinggi.

Badai adalah media yang tepat bagi kita untuk menguatkan sayap iman. Mengucap syukurlah ketika menghadapi berbagai-bagai pencobaan kerana itulah kesempatan kita untuk memanipulasikan kekuatan badai menjadi tisu-tisu baharu yang akan menguatkan sayap-sayap iman kita. Roma 5:3-4 (TB) “Dan bukan hanya itu saja. Kita malah bermegah juga dalam kesengsaraan kita, karena kita tahu, bahwa kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan, dan ketekunan menimbulkan tahan uji dan tahan uji menimbulkan pengharapan.”

KESIMPULAN

Kita memiliki jaminan kekuatan untuk kekal tabah menghadapi badai hidup bila kita berharap penuh kepada TUHAN semesta alam. Hanya dengan mengandalkan sepenuhnya hidup kita kepada TUHAN serta siap melalui semua proses yang TUHAN sediakan, maka kita mampu mengendalikan badai hidup. Jangan menyerah kepada badai, tetapi harungilah badai bagai rajawali kerana ada Firman sebagai cahaya penuntun, Firman sebagai manna dan Firman sebagai pembentuk tisu-tisu iman yang memampukan kita untuk menakluki badai. Tuhan Yesus memberkati kita semua.