Oleh Pta. Symond Liman
Shalom! dan selamat bertemu jemaat Tuhan yang dikasihi.
Walaupun masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),
kita tetap boleh beribadah secara online bersama keluarga di rumah
masing-masing. Firman Tuhan berkata, “Sebab di mana dua
atau tiga orang berkumpul dalam nama-Ku, di situ Aku ada di tengah-tengah
mereka." (Matius 18:20 TB). Saya amat yakin, walaupun beribadah bersama
keluarga dengan bilangan yang sedikit, tetapi jika dengan SIKAP HATI yang
TERBUKA kepada Tuhan, Roh Kudus pasti berkerja luar biasa di dalam kehidupan
kita. Amin.
Untuk memahami tema
ini mari kita lihat erti badai kehidupan terlebih dahulu. Badai kehidupan
adalah hal-hal tidak enak yang berlaku di dalam kehidupan sehingga mengganggu
perjalanan hidup kita. Dalam erti kata lain badai hidup menguji kesabaran dan iman kita. Tidak ada
manusia yang hidup di dunia ini yang tidak akan berdepan dengan badai
kehidupan. Hanya bentuk dan kekuatan badai yang membezakan kita.
Alkitab memberitahu kita
bahawa kita lebih dari pemenang, oleh Dia yang mengasihi kita. Segala bentuk
MUSUH dan PENGUASA dunia tidak dapat memisahkan kita dari KASIH ALLAH yang ada
dalam Yesus Kristus Tuhan kita (Roma 8: 37-39). Tuhan sudah memberi kita kemenangan atas segala
perkara. Marilah kita pertahankan hak yang Tuhan anugerahkan ini sampai ke
garis akhir hidup kita di dunia ini.
Alkitab mencatatkan bahawa
banyak yang dipanggil tetapi sedikit yang dipilih (Matius 22: 14). Saya percaya
kitalah orang yang berbahagia kerana mendapat panggilan istimewa melalui berita
baik dari Tuhan. Namun kita harus bertahan menghadapi badai kehidupan sampai ke
garis akhir supaya ternyatalah bahawa kita termasuk dalam senarai yang DIPILIH
oleh Tuhan untuk bersama-Nya di taman Firdaus. Mari kita selidiki bukti kasih Kristus dan melihat bagaimana Yesus bertahan menghadapi badai hidup sehingga kematian-Nya di kayu
salib yang telah memberi kita kemenangan.
1. Yesus Merasakan Penderitaan Kita Hanya Tidak Berbuat Dosa
Yesus
tidak mempertahan keseteraan-Nya dengan Allah, tetapi menjadi manusia supaya dapat
merasai kelemahan kita, dan supaya Dia dapat mati di kayu salib bagi menebus
kita dari dosa dan untuk itulah Allah sangat meninggikan Dia dan mengaruniakan
kepada-Nya nama di atas segala nama (Filipi 2:6-9). Yesus Turut merasakan kesulitan-kesulitan yang kita alami, hanya tidak berbuat dosa (Ibrani 4:15).
KETAKUTAN- Adakah
badai yang kita hadapi sekarang membuat kita berasa takut? Yesus juga berasa
takut dan sedih seakan seperti mau mati rasanya kerana Dia tahu penderitaan
yang bakal dihadapi-Nya (Matius 26: 37-38).
DITINGGALKAN-
Adakah anda berasa perit kerana ditinggalkkan oleh orang yang tersayang? Yesus
juga berasa sedih kerana ditinggalkan oleh murid-murid-Nya ketika berada di dalam
kesulitan (Matius 26: 56).
DIKHIANATI- Adakah
anda di dalam kesulitan kerana dikhianati oleh orang yang anda percayai selama
ini? Tetapi telah mengambil kesempatan atau keuntungan atas diri Anda? Yesus
juga dikhianati oleh murid yang duduk semeja dengan-Nya iaitu Yudas (Matius 26:
48). Petrus yang dianggap ‘orang berani mati’, yang telah memenggal telinga perajurit
di taman Getsemani, juga telah menyangkal dengan bersumpah tidak mengenal Yesus
ketika dia diadili di Mahkamah Agama (Matius 26: 74).
MANGSA KETIDAKADILAN- Adakah anda hidup dalam kesulitan kerana menjadi mangsa ketidakadilan? Yesus
juga mengalami hal yang sama. “Dan oleh
karena Pilatus ingin memuaskan hati orang banyak itu, ia membebaskan Barabas
bagi mereka, tetapi Yesus disesahnya lalu diserahkannya untuk disalibkan”
(Markus 15: 15 TB)
2. Yesus Mengampuni Orang Yang Berdosa
Manusia biasa fokus
pada penderitaan yang dihadapi, tetapi Yesus di kayu salib fokus pada kasih-Nya.
Yesus tetap mengampuni orang yang telah mengkhianati, bahkan mereka yang telah menyalibkan-Nya
(Lukas 23: 34). Pengampunan Yesus tidak pernah terlambat untuk orang yang
mengakui dosanya (Lukas 23: 43). Yesus mengajar kita untuk mengampuni orang yang
bersalah kepada kita (Matius 6: 12).
Saya dikuatkan oleh
seorang hamba Tuhan yang berkata, “Orang yang menyimpan kepahitan atau dendam di
dalam hati, seumpama orang yang meminum racun dengan berharap supaya orang lain
akan mati.” Maksudnya ialah kepahitan
dan dendam yang disimpan itu akhirnya akan membunuh KASIH kepada orang lain, iaitu
bahagian kedua dalam hukum yang terutama.
Walaupun kita tidak
setuju dengan cara orang lain, tetapi jangan sekali kehilangan kasih sesama
dengan menyimpan kepahitan di dalam hati. Kadangkala kita berasa kecewa kerana
orang lain tidak bersyukur dengan usaha kita untuk berbuat baik, tetapi bukankah
kita juga selalu bersikap begitu terhadap Tuhan? Sekalipun orang berbuat jahat
terhadap kita, jangan membalas kejahatan
dengan kejahatan (Amsal 20: 22).
3. Yesus Taat Sampai Mati
Satu-satunya doa
Yesus yang tidak dijawab oleh Bapa ialah doa Yesus di taman Getsamani. "Ya Bapa-Ku, jikalau sekiranya mungkin,
biarlah cawan ini lalu dari pada-Ku, tetapi janganlah seperti yang Kukehendaki,
melainkan seperti yang Engkau kehendaki." (Matius 26: 39 TB) Yesus
hanya berserah kepada kehendak Bapa. Dia bertahan dalam penderitaan sampai di kayu
salib.
Sekalipun doa kita
tidak dijawab sesuai dengan kehendak kita, tetaplah berharap dan jangan
menyerah kepada kesulitan. Jangan bereaksi negatif, jangan merungut, tetapi
berserahlah kepada Tuhan kerana rancangan Tuhan lebih sempurna dari rancangan
kita. Rancangan-Nya bukan membawa kecelakaan melainkan mendatangkan kebaikan masa
depan, untuk mengangkat kita ke tingkat yang lebih tinggi. Alkitab memberitahu kita bahawa lewat
penderitaan Yesus di kayu salib, Allah telah sangat meninggikan Dia dan
mengaruniakan-Nya nama di atas segala nama (Filipi 2:9)
4. Percaya Imani Janji Tuhan
Kita mampu bertahan di dalam badai bukan hanya kerana
kekuatan mental kita, tetapi kerana penyertaan Tuhan. Firman Tuhan di dalam Yesaya 49: 15-16 mengingatkan kita bahawa;
i. Kasih Allah kepada kita lebih
besar daripada kasih seorang ibu bagi anaknya. Dia tidak akan melupakan kita,
bahkan menyertai kita pada masa kesulitan dan kesedihan.
ii. Belas kasihan-Nya untuk kita
tidak pernah gagal. Dia mengawasi kita selalu dan kita dapat beristirehat di
dalam keyakinan bahwa Dia TIDAK akan pernah meninggalkan kita.
iii. Bukti kasih Allah ialah Dia
mengukir nama kita di tapak tangan-Nya (tangan Yesus terpaku di kayu salib)
dan itu membuatkan-Nya tidak pernah melupakan kita, sekalipun kita berada di tengah
BADAI KEHIDUPAN.
iv. Dia menyediakan tembok perlindungan dan
menyelesaikan tembok kesulitan yang kita hadapi.
Bukti kasih Allah ialah
SALIB, namun bukti kasih kita kepada Allah ialah IMAN. Kitab Perjanjian Lama mengingatkan
kita tentang darah anak domba yang telah menyelamatkan umat Israel dari Malaikat
Maut dan membolehkan mereka keluar dari Mesir. Kitab Perjanjian Baru
memberitahu kita bahawa Yesuslah Anak Domba Allah yang telah menumpahkan darah-Nya
di kayu salib untuk menyelamatkan kita dari dosa dan dari kematian jiwa dan roh.
Marilah kita bertahan dalam kasih kurnia Allah yang telah memberi kita kemenangan.
Kesimpulan
Sementara kita menantikan langit dan bumi yang baru, kita
akan terus hidup dalam pertarungan badai, tetapi marilah kita teladani sikap Yesus ketika
menghadapi Badai kehidupan. Jangan mengeluh dan merungut, tetapi tetaplah PERCAYA bahwa kita lebih dari pemenang
atas segala penguasa di bumi oleh KASIH KURNIA Allah. Tetaplah TAAT akan
segala sarana yang Allah telah tetapkan kerana di keliling kita penguasa dunia sedang
mengaum bagaikan singa yang mencari mangsa. Tetaplah SETIA dalam segala kehendak Bapa seperti Yesus
yang telah setia sampai ke garis akhir.
Saya percaya lewat badai yang melanda seluruh dunia pada hari
ini, semua suku bangsa mencari KESELAMATAN dan akan menemukan Dia iaitu Allah Abraham, Allah
Yakub dan Allah kita, sehingga ada pertaubatan bagi semua suku bangsa. Gereja akan bangkit dan sungguh-sungguh mencari wajah Tuhan
dan terjadi kebangunan rohani. Umat
Tuhan akan terus mempersiapkan diri menjelang kedatangan Yesus yang kedua kali agar
kita yang telah dipanggil akan juga dipilih untuk hidup di bumi dan langit yang
baru. Tuhan memberkati kita semua.