Sunday, June 6, 2021

IBADAH SATU PANGGILAN

Oleh, Pta. Dr. Nellson Maisin

Allah mencipta manusia dengan kasih dan membangun satu hubungan yang istimewa dengannya. Allah telah membuat taman Eden dan menempatkan manusia di situ agar manusia dapat menikmati segala kelimpahan berkat dan kemurahan-Nya. Allah memberi hak dan kebebasan kepada manusia untuk mengusaha dan memelihara taman itu (Kejadian 2: 15). Di taman Eden manusia bergaul bebas dengan Allah. Satu hubungan yang akrab dan jauh dari noda dosa. Itulah ibadah yang sejati dari semula.

Namun manusia yang pertama itu telah gagal memahami dan menaati perintah Allah, lalu jatuh ke dalam perangkap iblis. sejak dari saat itu, ibadah yang sejati itu telah rosak dan manusia telah kehilangan kemuliaan Allah. Sejak itu manusia telah memikul beban yang berat iaitu dosa. Kerana dosa, manusia mengenal erti kekhuatiran dan kesusahan hidup. Manusia terpaksa bersembunyi kerana takut, gelisah dan malu.

Tetapi Allah itu baik dan penuh dengan belas kasihan. Allah tetap rindu untuk memulihkan hubungan dengan manusia. Meskipun manusia tidak setia, tetapi Allah tetap setia kerana Dia tidak dapat bertentangan dengan diri-Nya sendiri (2 Timotius 2: 13). Itulah sebabnya meskipun manusia yang pertama itu telah berdosa, Allah masih datang untuk mencari dan memanggilnya, “Di manakan engkau?” (Kejadian 3: 9).

Pada zaman dahulu, untuk menghampiri Allah, umat Israel memerlukan imam sebagai perantara. Hanya Imam Besar yang dapat masuk ke ruang maha suci untuk mempersembahkan korban bagi umat-Nya (Ibrani 9: 7). Dosa telah menjadi penghalang bagi manusia untuk mendapatkan direct access kepada TUHAN. Kerana dosa, umat Israel tidak mengenal siapa Allah yang mereka panggil sebagai Bapa.

Tanpa insiatif dari Allah sendiri, manusia tidak dapat menikmati ibadah yang sejati. Manusia telah berusaha dengan sedaya upaya. Namun dengan kekuatan sendiri, manusia hanya menjadi letih dan berbeban berat. Itulah sebabnya Yesus telah datang ke dunia ini agar kita dapat mengenal Allah Bapa melalui Dia (Kolose 2: 9). Yesus sangat mengerti keletihan kita. Dia juga turut merasakan penderitaan kita. Oleh itu, Dia sendiri telah menjadi Imam Besar bagi kita dengan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban pengampunan dosa, sekali untuk selamanya (Ibrani 9: 28).

Lalu Dia memanggil kita, “Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu.” Yesus bukan berbicara tentang keletihan dan beban pada tubuh fizikal. Yang Tuhan maksudkan ialah kekuatan dan ketenangan bagi jiwa kita. Jiwa kita hanya akan mengalami damai sejahtera yang sejati apabila berada dekat dengan Tuhan. Inilah panggilan Tuhan yang sejati di dalam hidup kita iaitu untuk kita menghampiri Allah dan beribadah kepada-Nya. Panggilan inilah yang kita akan bawa sampai pulang ke rumah Bapa di syurga.

Ketika lockdown sedang berkuatkuasa, kita tidak dibenarkan untuk kumpul beribadah di gereja. Namun maksud ibadah yang sesungguhnya bukanlah terhad hanya di dalam gedung gereja, melainkan menyembah-Nya di dalam Roh dan Kebenaran (Yohanes 4: 23). Inilah Rahsia ibadah kita iaitu tidak ada satu perkara pun yang dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita. Ibadah yang sejati boleh dinikmati di mana sahaja kerana Roh Kudus sudah ada di dalam hati kita sebagai satu jaminan kasih dan anugerah Allah bagi kita (2 Korintus 1: 22).

"Karena kita sekarang mempunyai Imam Besar Agung, yang telah melintasi semua langit, yaitu Yesus, Anak Allah, baiklah kita teguh berpegang pada pengakuan iman kita. Sebab Imam Besar yang kita punya, bukanlah imam besar yang tidak dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita, sebaliknya sama dengan kita, Ia telah dicobai, hanya tidak berbuat dosa. Sebab itu marilah kita dengan penuh keberanian menghampiri takhta kasih karunia, supaya kita menerima rahmat dan menemukan kasih karunia untuk mendapat pertolongan kita pada waktunya." Ibrani 4:14-16 (TB)

Terpuji dan termulialah Tuhan kita Yesus Kristus. Amin.

Saturday, June 6, 2020

MENGHARUNGI BADAI BAGAI RAJAWALI



Oleh Dkn. Frances Delinting

PENDAHULUAN

Pandemik Covid-19 yang sedang membadai hampir di serata dunia ketika ini telah mengejutkan manusia betapa dasyatnya kesan pukulan yang telah menimpa kepada setiap mangsanya. Kita juga mendengar bermacam-macam kaedah yang diamalkan samada berupa kawalan ataupun rawatan bagi membendung gelombang penularannya. Hal ini memberi wake up call kepada kita betapa gerunnya impak yang yang melanda. Sementara vaksin masih dalam kajian dan belum berjaya dihasilkan, selama itulah manusia perlu hidup dengan berwaspada, bak slogan-slogan dalam media seperti #StaySafe, #StayAtHome, #StayAlert dan sebagainya.

Gereja juga tidak terkecuali mengalami impak daripada SOP kawalan pergerakan, sosial distancing dan peningkatan tahap kebersihan diri diperkenal sebagai langkah yang harus dipatuhi dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat bagi membendung penularan. Keadaan ini menyebabkan semua gedung tumpuan awam, khususnya gedung-gedung keagamaan seperti gereja, tokong, kuil, mahu pun masjid serta surau-surau menjadi kosong.

Sebagai orang percaya, apakah tanggapan kita terhadap badai seumpama ini? Apakah respon iman yang harus dilakukan? Apakah perbezaan ketara bagi orang percaya dalam menangani badai hidup berbanding mereka yang di luar sana? Alkitab mencatatkan, Ayub pernah mengalami masa-masa yang paling sukar, membadai hampir seluruh kehidupannya. Tetapi Ayub nemilih untuk tetap setia di dalam TUHAN. Sesuatu yang menarik untuk diteliti ialah kekuatan nadi ketabahannya untuk kekal taat. Ternyata Ayub mempunyai pandangan yang tepat tentang hikmat dan kedaulatan TUHAN.

Yesaya 40:31 (AVB) “Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu”. Saya mengajak teman-teman seiman untuk merenung sejenak tentang hikmat kebesaran ciptaan TUHAN daripada seekor burung rajawali menanggapi badai, mengharungi badai seperti yang dibicarakan oleh tokoh-tokoh iman di dalam Alkitab. Sebagai manusia yang memiliki anugerah akal fikiran melebihi ciptaan yang lain, kita lebih berhikmat untuk mengolah setiap rahsia yang terkandung. Bagaimanakah kita dapat mengharungi badai bagai rajawali?

1. PANDANGAN YANG JELAS

Ayub 39:29 (AVB) “Dari situ ia mengintai makanannya, matanya memandang dari jauh.” Salah satu keistimewaan pada burung rajawali ialah ketepatan deria penglihatan sejauh 2 kilometer jaraknya. Sesuatu yang sukar dilihat oleh makhluk lain termasuk manusia. Sudah tentu dengan kelebihan ini, burung rajawali tidak begitu sulit mencari mangsanya berbanding pemangsa lain sebab dia boleh merancang strategi lebih awal sebelum kehadirannya dikesan. Demikian juga halnya ketika badai melanda. Dengan ketajaman penglihatan, burung rajawali dapat mengetahuinya lebih awal dan dapat melakukan persiapan untuk mengharunginya. Pemusatan dan sudut arah akal fikiran kita menanggapi badai hidup dan cara meresponinya amat ditentukan oleh skop mata kita melihat sesuatu fenomena. Ia dapat dilihat melalui ragam, reaksi serta cara manusia menghadapi sesuatu badai hidup.

Menurut injil Matius 6:22 “Mata adalah pelita tubuhJika matamu baik, teranglah seluruh tubuhmu.” Sementara Mazmur 119:105 “Firman-Mu itu pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku.” Dari kedua-dua petikan alkitab ini, ternyata bahawa pencahayaan itu amat penting sekali untuk membolehkan kita melihat dengan jelas. Kita tidak dapat mengharungi badai dalam gelap. Tanpa cahaya kita akan teraba-raba; hanya dapat menjangka tanpa ada pautan yang kukuh. Kita memerlukan penglihatan yang tajam dan hanya Firman Tuhan sebagai pelita (terang) yang dapat memberi kita kekuatan iman untuk tetap berpaut pada janji-janji-Nya. Oleh kuasa firman-Nya kita mampu bertahan dan membawa kita keluar dari badai hidup.

2. DIPULIHKAN DALAM HADIRATNYA

Ayub 39:28 (TB) (39-31) “Ia diam dan bersarang di bukit batu, di puncak bukit batu dan di gunung yang sulit didatangi.” Pemilihan tempat bersarang adalah satu kriteria yang diutamakan oleh seekor burung rajawali ketika merencanakan pembuatan tempat perteduhan. Keselamatan anak-anaknya ketika ditinggalkan amat dititik beratkan. Risiko daripada para pemangsa lain perlu diminimumkan sedapat mungkin. Di celah-celah bukit batu yang tinggi adalah pilihan yang paling tepat baginya. Tempat ini juga sangat sesuai bagi membolehkannya melalui proses transfomasi yang harus dilalui oleh setiap burung rajawali jika ingin mencapai umur maksimum sehingga 70 tahun.

Pada usia 40 tahun, burung rajawali perlu melalui proses yang sangat menyakitkan. Paruhnya yang melengkung hampir ke leher menyukarkannya untuk mengoyakkan makanan. Ia harus dipatahkan dengan mematuk-matukkannya pada bebatuan bukit. Begitu juga dengan cakarnya yang sukar untuk menangkap mangsa. Ia perlu ditanggalkan untuk memperoleh cakar yang baru. Bulu yang semakin menebal dan berat menyukarkan pergerakannya. Dia perlu mencabutnya untuk membolehkan bulu yang baru tumbuh. Suatu proses yang sangat menyakitkan dan menempatkan dirinya dalam keadaan berisiko. Sebab itulah dia memerlukan sarang yang ‘sulit didatangi’, iaitu di celah bebatuan bukit yang tinggi sebagai tempat perlindungan selama 150 hari proses transfomasi ini berjalan.

Mazmur 23:6 (TB) “Kebajikan dan kemurahan belaka akan mengikuti aku, seumur hidupku; dan aku akan diam dalam rumah TUHAN sepanjang masa.” Dalam kehidupan Kristian, hadirat TUHAN adalah nadi kekuatan, sumber ketenangan dan perlindungan kerana di situlah kebajikan TUHAN serta kemurahanNya sentiasa mengalirTUHAN Yesus telah meletakkan satu dasar kehidupan sebagai teladan, iaitu persekutuan dengan BAPA sebagai suatu perkara yang menjadi keharusan bagi-Nya.

Markus 6:46 (TB) “Setelah Ia berpisah dari mereka, Ia pergi ke bukit untuk berdoa.” Hadirat-Nya hanya dapat kita temui ketika kita mengasingkan diri di tempat teduh atau private place (bukit) yang jarang dikunjungi oleh orang ramai. Ketika kita berdialog melalui keluhan-keluhan hati yang terdalam (yang suami/isteri/anak-anak sebagai orang terdekat pun mungkin belum pernah mendengar), TUHAN semesta alam akan membalas dengan rhema (Firman) sehingga ada letusan kuasa, semangat baru dan inspirasi yang menjurus kepada pemulihan.

Yesaya 40:31 (AVB) “Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu.” Nabi Yesaya dalam petikan ini telah menggambarkan maksud 'kekuatan baru’ melalui seekor burung rajawali, iaitu kekuatan yang dihasilkan melalui proses-proses pembentukan yang cukup perit, memaksanya locked down selama kira-kira 5 bulan sehingga ia pulih kembali dan meneruskan hidup selama 30 tahun lagi. Di sudut positif tentang kedaulatan TUHAN, badai pandemik Covid-19 ini telah mengajar kita untuk menghormati TUHAN dan menghargai masa bersama keluarga yang mungkin jarang dilakukan sebelum ini.

3. HADAPI BADAI, JANGAN MENGELAK

Tidak seperti burung-burung lain yang panik mencari tempat perlindungan, rajawali tenang menunggu kedatangan badai. Setelah mengamati arah datangnya angin badai dengan visinya, sang rajawali yang sudah bersedia hanya mengembangkan sayapnya dan meluncur di udara. Semakin kuat ribut melanda, semakin tinggi ia naik ke udara tanpa perlu mengerah tenaga untuk mengepakkan sayapnya. Cukup hanya dengan melayang ke arah angin yang bertentangan dan mengembangkan sayap dengan selebar-lebarnya. Bagi rajawali, kekuatan badailah yang diperlukannya untuk terbang bebas dan lebih tinggi.

Badai adalah media yang tepat bagi kita untuk menguatkan sayap iman. Mengucap syukurlah ketika menghadapi berbagai-bagai pencobaan kerana itulah kesempatan kita untuk memanipulasikan kekuatan badai menjadi tisu-tisu baharu yang akan menguatkan sayap-sayap iman kita. Roma 5:3-4 (TB) “Dan bukan hanya itu saja. Kita malah bermegah juga dalam kesengsaraan kita, karena kita tahu, bahwa kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan, dan ketekunan menimbulkan tahan uji dan tahan uji menimbulkan pengharapan.”

KESIMPULAN

Kita memiliki jaminan kekuatan untuk kekal tabah menghadapi badai hidup bila kita berharap penuh kepada TUHAN semesta alam. Hanya dengan mengandalkan sepenuhnya hidup kita kepada TUHAN serta siap melalui semua proses yang TUHAN sediakan, maka kita mampu mengendalikan badai hidup. Jangan menyerah kepada badai, tetapi harungilah badai bagai rajawali kerana ada Firman sebagai cahaya penuntun, Firman sebagai manna dan Firman sebagai pembentuk tisu-tisu iman yang memampukan kita untuk menakluki badai. Tuhan Yesus memberkati kita semua.

Thursday, May 28, 2020

BERTAHAN DI TENGAH BADAI


Oleh Pta. Symond Liman

Shalom! dan selamat bertemu jemaat Tuhan yang dikasihi. Walaupun masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita tetap boleh beribadah secara online bersama keluarga di rumah masing-masing. Firman Tuhan berkata, “Sebab di mana dua atau tiga orang berkumpul dalam nama-Ku, di situ Aku ada di tengah-tengah mereka." (Matius 18:20 TB). Saya amat yakin, walaupun beribadah bersama keluarga dengan bilangan yang sedikit, tetapi jika dengan SIKAP HATI yang TERBUKA kepada Tuhan, Roh Kudus pasti berkerja luar biasa di dalam kehidupan kita. Amin.

Untuk memahami tema ini mari kita lihat erti badai kehidupan terlebih dahulu. Badai kehidupan adalah hal-hal tidak enak yang berlaku di dalam kehidupan sehingga mengganggu perjalanan hidup kita. Dalam erti kata lain badai hidup  menguji kesabaran dan iman kita. Tidak ada manusia yang hidup di dunia ini yang tidak akan berdepan dengan badai kehidupan. Hanya bentuk dan kekuatan badai yang membezakan kita.

Alkitab memberitahu kita bahawa kita lebih dari pemenang, oleh Dia yang mengasihi kita. Segala bentuk MUSUH dan PENGUASA dunia tidak dapat memisahkan kita dari KASIH ALLAH yang ada dalam Yesus Kristus Tuhan kita (Roma 8: 37-39). Tuhan sudah memberi kita kemenangan atas segala perkara. Marilah kita pertahankan hak yang Tuhan anugerahkan ini sampai ke garis akhir hidup kita di dunia ini.

Alkitab mencatatkan bahawa banyak yang dipanggil tetapi sedikit yang dipilih (Matius 22: 14). Saya percaya kitalah orang yang berbahagia kerana mendapat panggilan istimewa melalui berita baik dari Tuhan. Namun kita harus bertahan menghadapi badai kehidupan sampai ke garis akhir supaya ternyatalah bahawa kita termasuk dalam senarai yang DIPILIH oleh Tuhan untuk bersama-Nya di taman Firdaus. Mari kita selidiki bukti kasih Kristus dan melihat bagaimana Yesus bertahan menghadapi badai hidup sehingga kematian-Nya di kayu salib yang telah memberi kita kemenangan.

1. Yesus Merasakan Penderitaan Kita Hanya Tidak Berbuat Dosa

Yesus tidak mempertahan keseteraan-Nya dengan Allah, tetapi menjadi manusia supaya dapat merasai kelemahan kita, dan supaya Dia dapat mati di kayu salib bagi menebus kita dari dosa dan untuk itulah Allah sangat meninggikan Dia dan mengaruniakan kepada-Nya nama di atas segala nama (Filipi 2:6-9). Yesus Turut merasakan kesulitan-kesulitan yang kita alami, hanya tidak berbuat dosa (Ibrani 4:15).

KETAKUTAN- Adakah badai yang kita hadapi sekarang membuat kita berasa takut? Yesus juga berasa takut dan sedih seakan seperti mau mati rasanya kerana Dia tahu penderitaan yang bakal dihadapi-Nya (Matius 26: 37-38).

DITINGGALKAN- Adakah anda berasa perit kerana ditinggalkkan oleh orang yang tersayang? Yesus juga berasa sedih kerana ditinggalkan oleh murid-murid-Nya ketika berada di dalam kesulitan (Matius 26: 56).

DIKHIANATI- Adakah anda di dalam kesulitan kerana dikhianati oleh orang yang anda percayai selama ini? Tetapi telah mengambil kesempatan atau keuntungan atas diri Anda? Yesus juga dikhianati oleh murid yang duduk semeja dengan-Nya iaitu Yudas (Matius 26: 48). Petrus yang dianggap ‘orang berani mati’, yang telah memenggal telinga perajurit di taman Getsemani, juga telah menyangkal dengan bersumpah tidak mengenal Yesus ketika dia diadili di Mahkamah Agama (Matius 26: 74).

MANGSA KETIDAKADILAN- Adakah anda hidup dalam kesulitan kerana menjadi mangsa ketidakadilan? Yesus juga mengalami hal yang sama. “Dan oleh karena Pilatus ingin memuaskan hati orang banyak itu, ia membebaskan Barabas bagi mereka, tetapi Yesus disesahnya lalu diserahkannya untuk disalibkan” (Markus 15: 15 TB)

2. Yesus Mengampuni Orang Yang Berdosa

Manusia biasa fokus pada penderitaan yang dihadapi, tetapi Yesus di kayu salib fokus pada kasih-Nya. Yesus tetap mengampuni orang yang telah mengkhianati, bahkan mereka yang telah menyalibkan-Nya (Lukas 23: 34). Pengampunan Yesus tidak pernah terlambat untuk orang yang mengakui dosanya (Lukas 23: 43). Yesus mengajar kita untuk mengampuni orang yang bersalah kepada kita (Matius 6: 12).

Saya dikuatkan oleh seorang hamba Tuhan yang berkata, “Orang yang menyimpan kepahitan atau dendam di dalam hati, seumpama orang yang meminum racun dengan berharap supaya orang lain akan mati.” Maksudnya ialah  kepahitan dan dendam yang disimpan itu akhirnya akan membunuh KASIH kepada orang lain, iaitu bahagian kedua dalam hukum yang terutama.

Walaupun kita tidak setuju dengan cara orang lain, tetapi jangan sekali kehilangan kasih sesama dengan menyimpan kepahitan di dalam hati. Kadangkala kita berasa kecewa kerana orang lain tidak bersyukur dengan usaha kita untuk berbuat baik, tetapi bukankah kita juga selalu bersikap begitu terhadap Tuhan? Sekalipun orang berbuat jahat terhadap kita, jangan membalas kejahatan dengan kejahatan (Amsal 20: 22).

3. Yesus Taat Sampai Mati

Satu-satunya doa Yesus yang tidak dijawab oleh Bapa ialah doa Yesus di taman Getsamani. "Ya Bapa-Ku, jikalau sekiranya mungkin, biarlah cawan ini lalu dari pada-Ku, tetapi janganlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Engkau kehendaki." (Matius 26: 39 TB) Yesus hanya berserah kepada kehendak Bapa. Dia bertahan dalam penderitaan sampai di kayu salib.

Sekalipun doa kita tidak dijawab sesuai dengan kehendak kita, tetaplah berharap dan jangan menyerah kepada kesulitan. Jangan bereaksi negatif, jangan merungut, tetapi berserahlah kepada Tuhan kerana rancangan Tuhan lebih sempurna dari rancangan kita. Rancangan-Nya bukan membawa kecelakaan melainkan mendatangkan kebaikan masa depan, untuk mengangkat kita ke tingkat yang lebih tinggi. Alkitab memberitahu kita bahawa lewat penderitaan Yesus di kayu salib, Allah telah sangat meninggikan Dia dan mengaruniakan-Nya nama di atas segala nama (Filipi 2:9)

4. Percaya Imani Janji Tuhan

Kita mampu bertahan di dalam badai bukan hanya kerana kekuatan mental kita, tetapi kerana penyertaan Tuhan. Firman Tuhan di dalam Yesaya 49: 15-16 mengingatkan kita bahawa;

i. Kasih Allah kepada kita lebih besar daripada kasih seorang ibu bagi anaknya. Dia tidak akan melupakan kita, bahkan menyertai kita pada masa kesulitan dan kesedihan.

ii. Belas kasihan-Nya untuk kita tidak pernah gagal. Dia mengawasi kita selalu dan kita dapat beristirehat di dalam keyakinan bahwa Dia TIDAK akan pernah meninggalkan kita.

iii. Bukti kasih Allah ialah Dia  mengukir nama kita di tapak tangan-Nya (tangan Yesus terpaku di kayu salib) dan itu membuatkan-Nya tidak pernah melupakan kita, sekalipun kita berada di tengah BADAI KEHIDUPAN.

iv. Dia menyediakan tembok perlindungan dan menyelesaikan tembok kesulitan yang kita hadapi.

Bukti kasih Allah ialah SALIB, namun bukti kasih kita kepada Allah ialah IMAN. Kitab Perjanjian Lama mengingatkan kita tentang darah anak domba yang telah menyelamatkan umat Israel dari Malaikat Maut dan membolehkan mereka keluar dari Mesir. Kitab Perjanjian Baru memberitahu kita bahawa Yesuslah Anak Domba Allah yang telah menumpahkan darah-Nya di kayu salib untuk menyelamatkan kita dari dosa dan dari kematian jiwa dan roh. Marilah kita bertahan dalam kasih kurnia Allah yang telah memberi kita kemenangan.

Kesimpulan

Sementara kita menantikan langit dan bumi yang baru, kita akan terus hidup dalam pertarungan badai, tetapi marilah kita teladani sikap Yesus ketika menghadapi Badai kehidupan. Jangan mengeluh dan merungut, tetapi tetaplah PERCAYA bahwa kita lebih dari pemenang atas segala penguasa di bumi oleh KASIH KURNIA Allah. Tetaplah TAAT akan segala sarana yang Allah telah tetapkan kerana di keliling kita penguasa dunia sedang mengaum bagaikan singa yang mencari mangsa. Tetaplah SETIA dalam segala kehendak Bapa seperti Yesus yang telah setia sampai ke garis akhir.

Saya percaya lewat badai yang melanda seluruh dunia pada hari ini, semua suku bangsa mencari KESELAMATAN dan akan menemukan Dia iaitu Allah Abraham, Allah Yakub dan Allah kita, sehingga ada pertaubatan bagi semua suku bangsa. Gereja akan bangkit dan sungguh-sungguh mencari wajah Tuhan dan terjadi kebangunan rohani. Umat Tuhan akan terus mempersiapkan diri menjelang kedatangan Yesus yang kedua kali agar kita yang telah dipanggil akan juga dipilih untuk hidup di bumi dan langit yang baru. Tuhan memberkati kita semua.

Thursday, May 21, 2020

SEMAKIN KUAT DAN BERAKAR DI TENGAH BADAI

Oleh Pta. Ulik Likud

CERITA INSPIRASI

Saya mulakan perkongsian dengan menceritakan satu kisah tentang pertandingan menjatuhkan monyet dari pokok oleh Puting Beliung, Ribut Taufan dan Angin Lembut. Puting Beliung berkata, “Saya sangat kuat. Dengan mudah saja saya akan menjatuhkan monyet itu dari pokok.” Lalu Puting Beliung pun bertiup kencang. Namun menyedari hal itu, sang monyet semakin berpegang erat pada pokok sehingga sekuat mana pun Puting Beliung bertiup, monyet itu tetap bertahan dan bahkan semakin erat berpaut pada pokok. Kemudian Ribut Taufan pula berkata, “Sekarang giliran saya. Pasti monyet itu akan terjatuh oleh saya.” Lalu Ribut Taufan pun mula melanda dengan dasyat. Tetapi sang monyet semakin erat berpaut pada pokok dan tidak terjatuh.

Akhirnya tiba giliran si Angin Lembut. Belum sempat dia berbuat apa-apa, Puting Beliung dan Ribut Taufan mentertawakannya. “Janganlah kau menyusahkan diri, sedangkan oleh kami pun monyet itu tidak terjatuh, apa lagi dengan kamu.” Namun si Angin Lembut membalas dengan lembut, ”Apa salahnya mencuba.” Lalu dia mula bertiup dengan sepoi-sepoi bahasa. Sang monyet berasa nyaman dan terbuai. Oleh kerana kenyamanan Angin Lembut maka sang Monyet terlena lalu terjatuh dari pokok. Demikianlah cerita ini memberi kita inspirasi bahawa badai yang melanda seharusnya akan membuat kita semakin kuat.

BACA KISAH AYUB DALAM ALKITAB

Di tanah Us ada seorang lelaki bernama Ayub. Dia seorang yang saleh dan jujur. Dia takut akan Allah dan menjauhi kejahatan. Dia mempunyai  7 orang anak lelaki 3 orang anak perempuan. Dia memiliki ternakan yang banyak dan seorang yang kaya bahkan yang terkaya dari semua orang di sebelah timur tanah Us. Anak-anak lelakinya pula bergilir-gilir mengadakan pesta dan mengundang ketiga-tiga saudara perempuan mereka. Setiap kali sesudah selesai pesta, keesokan harinya Ayub akan bangun awal pagi dan mempersembahkan korban bagi setiap anaknya untuk menyucikan mereka. Dia sentiasa berbuat demikian kerana pada fikirannya, mungkin salah seorang daripada mereka telah berdosa dan menghina Allah dengan tidak sengaja.

Pada suatu hari makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN, dan Iblis juga bersama mereka. TUHAN bertanya kepada Iblis jika dia telah memperhatikan Ayub. TUHAN berkata bahawa di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Tetapi Iblis menjawab bahawa jika segala miliknya diambil, tentu dia akan mengutuk TUHAN. Kemudian TUHAN berfirman, “Baiklah, lakukan apa saja dengan segala miliknya, asal engkau tidak membinasakan Ayub.”  Lalu Iblis beredar dari situ dan telah memperlakukan kepada Ayub seperti yang tecatat di dalam alkitab. Badai yang dahsyat menimpa Ayub. Anak-anak dan kekayaannya telah dimusnahkan. Bahkan lebih teruk lagi, Ayub menderita penyakit kudis di seluruh tubuhnya. Hanya TUHAN tidak izinkan Iblis membunuhnya.

Setelah Ayub kehilangan semua anak dan harta miliknya, dia berdiri dan mengoyakkan pakaiannya kerana kesedihan. Dia mencukur rambutnya dan bersujud. Dia berkata, “Aku dilahirkan tanpa apa-apa, dan aku akan mati tanpa apa-apa juga. TUHAH yang memberikan dan sekarang TUHAN pula yang mengambil semula. Terpujilah nama-Nya.” Sungguhpun segala peristiwa itu telah berlaku, Ayub tidak berdosa dan tidak menyalahkan TUHAN. (Ayub 1: 20-21)

SEMAKIN  KUAT DAN BERAKAR DI TENGAH BADAI

1. Mengerti Tuhan Menopang Saat Mengharungi Badai

Badai dalam kehidupan Ayub bukan hanya kehilangan anak-anak, harta benda dan mengalami penyakit tapi sindiran dari isterinya. Kata isterinya, "Masih bertekunkah engkau dalam kesalehanmu? Kutukilah Allahmu dan matilah!" Tetapi Ayub menjawab, “Engkau berbicara seperti orang gila! Apakah kita menerima yang baik dari Allah, tetapi tidak mau menerima yang buruk?” Namun Ayub tidak berdosa dengan bibirnya (Ayub 2: 9-10). Para sahabat rapatnya juga menuduh dia bahawa penderitaan yang dialaminya itu adalah disebabkan oleh dosa yang telah dilakukannya. 

TUHAN mengizinkan iblis mencubai Ayub justeru untuk menyatakan kekuatan iman dan pengertian Ayub bahawa Tuhan menopang hidupnya. Semakin badai menimpa semakin dia berpegang teguh dengan keyakinan bahawa Tuhan lebih mengerti dan berhak berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendak dan rencana-Nya sendiri. TUHAN bertujuan untuk memperlihatkan hasil daripada proses yang Ayub alami dalam hidupnya.

2. Mengerti Badai HANYA Melukai Tubuh, Tetapi BUKAN Jiwa

Ayub mengerti bahawa badai hidup yang menimpa hanya setakat pada tubuhnya. Meskipun tubuhnya semakin lemah, tetapi Jiwanya tetap kuat dan bahkan semakin kuat di dalam Tuhan. Badai dalam hidup kita tidak lebih daripada apa yang sudah dialami oleh Ayub. Pandemik  Covid- 19 yang sedang melanda pada saat ini telah memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia di seluruh dunia. Ia telah mengganggu kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Ia bahkan telah meragut ratusan ribu nyawa. Tetapi sebagai orang-orang percaya, itu semua hanya setakat pada tubuh, tetapi tidak mampu mengapa-apakan jiwa kita. Sekalipun nyawa kita melayang, jiwa kita tetap aman bersama Tuhan.

Secara statistiknya lebih ramai orang menghadapi kematian di atas tempat tidur daripada mati di atas pesawat. Tetapi hakikatnya lebih ramai orang yang takut mati ketika menaiki pesawat daripada takut mati kerana menaiki tempat tidur. Perbezaannya hanyalah pada logik pemikiran. Takut menaiki pesawat itu lebih logik berbanding takut menaiki tempat tidur. Berita baiknya ialah Tuhan TETAP mengawal semua keadaan. Tuhan hanya mahu mendisiplinkan kita agar kita mengerti dan semakin kuat di dalam-Nya.

3. Mengerti Hanya Tuhan Yang Dapat  Menyelesaikan Kesulitan

Isteri Ayub yang sangat rapat dan dekat di hatinya pun tidak mengerti kenapa Ayub menderita, bahkan menyuruh Ayub mengutuki Tuhan. Para sahabatnya pula memberi motivasi yang salah. Mereka menyangka penderitaan Ayub adalah kerana dosanya. Manusia cenderung mengaitkan penderitaan dengan dosa. Mengaitkan kemiskinan dengan kutukan. Bagaimana dengan janda miskin yang disebut di dalam Alkitab? Apakah dia miskin kerana dosa?.

Penilaian dan penghakiman manusia tidak menentukan siapa, bagaimana dan apa kesudahan hidup kita. Tuhan lebih mengerti dan dialah jawapan bagi setiap permasalahan yang kita hadapi. Janganlah kita terlalu cepat menghakimi seseorang berdasarkan apa yang kita lihat kerana di mata Tuhan dia mungkin lebih baik berbanding kita. Lee Kuan Yew pernah berkata, “Ini peribahasa Tionghoa, jangan menghakimi atau mengukur manusia hingga anda menutup peti matinya. Tutup peti mati dan kemudian analisis.”

Tuhan akhirnya memulihkan keadaan Ayub. Bahkan Tuhan memberi dua kali lipat berbanding kepunyaannya dahulu. Tuhan memberkatinya semula dengan 7 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan yang tercantik di negeri itu. Ayub telah hidup 140 tahun lagi dan meninggal pada usia tua (Ayub 42: 7-17). Apa pun badai yang melanda hidup kita, teladanilah ketaatan Ayub. Tetaplah berpaut pada Tuhan kerana hanya Dia yang dapat menyelesaikan kesulitan yang kita hadapi.

Monday, May 11, 2020

TENANG DI TENGAH BADAI

Oleh, Pta. Dr. Nellson Maisin

Shalom! Dalam nama Tuhan kita Yesus Kristus yang oleh kerana kasih dan kuasa-Nya kita masih dapat menjalani hidup pada hari ini. Tema gereja kita pada bulan Mei 2020 ialah Menghadapi Badai Hidup. Pada hari Ahad yang lalu saya telah menyampaikan firman Tuhan melalui ibadah online tentang sub tema Tenang Di Tengah Badai. Saya menulis artikel ini sebagai rujukan bertulis khutbah yang telah saya sampaikan. Mari kita pelajari bersama petikan alkitab di dalam Matius 8:23-27 (TB) tentang kenapa kita harus tenang di tengah badai

“23 Lalu Yesus naik ke dalam perahu dan murid-murid-Nya pun mengikuti-Nya. 24 Sekonyong-konyong mengamuklah angin ribut di danau itu, sehingga perahu itu ditimbus gelombang, tetapi Yesus tidur.25 Maka datanglah murid-murid-Nya membangunkan Dia, katanya: "Tuhan, tolonglah, kita binasa." 26 Ia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu takut, kamu yang kurang percaya?" Lalu bangunlah Yesus menghardik angin dan danau itu, maka danau itu menjadi teduh sekali. 27 Dan heranlah orang-orang itu, katanya: "Orang apakah Dia ini, sehingga angin dan danau pun taat kepada-Nya?"

Menjadi orang Kristian bukan bererti kita bebas daripada sebarang permasalah hidup. Kehidupan kita di dunia yang fana ini adalah seperti satu pelayaran untuk ke seberang sana iaitu ke dunia yang abadi. Selama kita di dalam pelayaran ini, sewaktu-waktu badai akan melanda. Badai itu mungkin penyakit yang dideritai atau ancaman penyakit yang berbahaya seperti Covid-19, masalah pekerjaan dan kewangan, konflik di dalam keluarga, kehilangan harta benda atau orang yang tersayang, sekataan pergerakan seperti yang sedang berlaku sekarang dsbg. Kita mungkin tidak boleh menghalang, menentukan jenis dan mengawal kekuatan badai yang melanda, tetapi kita boleh menentukan sikap kita ketika menghadapi badai. Firman Tuhan yang kita baca pada hari ini memberitahu kita beberapa kebenaran yang kita perlukan untuk tetap tenang ketika badai hidup melanda.

Kebenaran pertama yang perlu kita sedari ialah Tuhan menyertai kita di tengah badai. Perhatikan ayat 23, ketika menaiki perahu, Yesus naik terlebih dahulu kemudian diikuti oleh murid-murid-Nya. Alkitab mengajar kita bahawa sebagai orang percaya, hidup kita bukannya kita lagi melainkan Kristus yang hidup di dalam kita (Galatia 2: 20). Secara ringkasnya ayat ini memberitahu kita bahawa kehidupan sebagai orang Kristian ialah hidup di dalam pimpinan Tuhan. Tidakkah Yesus mengtahui bahawa di tengah pelayaran bersama para murid-Nya akan ada badai yang melanda? Sudah tentu Yesus tahu, tetapi badai yang melanda tidak pernah mengubah hakikat bahawa Tuhan menyertai kita. Di tengah badai Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, Tuhan ada bersama kita dan bahkan sedang memimpin hidup kita.

Kebenaran kedua yang kita perolehi dari petikan alkitab yang kita telah baca ialah ketika badai melanda datanglah kepada Tuhan. Seperti murid-murid Yesus, sifat semulajadi manusia kita akan berasa cemas dan takut apabila berhadapan dengan masalah dan kesulitan. Persoalannya ialah kepada siapakah kita harus mengadu dan bergantung harap? Ramai orang Kristian yang mencari penyelesaian di luar Tuhan. Mereka berusaha mencari jawapan dan penyelesaian dengan cara yang tidak memuliakan Tuhan. Semenatara yang lain berusaha dengan kekuatan sendiri untuk menangani badai lalu keletihan dan menjadi putus asa. Tidak sedikit yang mengambil jalan singkat mengakhiri hidup dengan sia-sia. WHO melaporkan bahawa di seluruh dunia, kematian akibat bunuh diri ialah seorang setiap 40 saat.

Ayat 25 memberitahu kita bahawa ketika badai melanda, murid-murid Yesus datang kepada-Nya dan memohon pertolongan. Tuhan memang menyertai kita, tetapi jika engkau tidak mengambil tindakan iman untuk datang kepada-Nya dan memohon pertolongan, Tuhan mungkin tidak akan berbuat apa-apa untukmu. Jika kita benar-benar murid Yesus, kita tidak akan ada keraguan untuk datang kepda-Nya. Itulah sebabnya amat penting sekali bagi kita untuk sentiasa memelihara hubungan yang intim dengan Tuhan melalui pembacaan firman Tuhan, doa dan penyembahan kepada-Nya. Hanya dengan cara demikian kita dapat mengenal isi hati dan mengetahui kehendak-Nya bagi kita.

Kebenaran yang ketiga di dalam pembacaan kita pada hari ini ialah Tuhan lebih besar daripada badai apa pun yang melanda hidup kita. Di dalam ayat 24, alkitab mencatatkan bahawa ketika badai melanda, Yesus sebenarnya sedang tidur. Bagaimana Yesus boleh tertidur di tengah badai? Jawapannya mudah, Yesus Kristus ialah Tuhan yang gagah perkasa. Tuhanlah perlindungan dan kekuatan kita. Di dalam Mazmur 46: 10, TUHAN berkata, “Be still and know that I am God.” (ASV). Diamlah atau jadilah tenang dan ketahui bahawa Aku TUHAN. Yesus Kristus menunjukkan keTuhanan-Nya dengan bangun dan menengking angin dan ombak. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali (ayat 26).

Saudara-saudari, para jemaat yang dikasihi Tuhan, apa pun badai yang sedang melanda hidupmu saat ini, tetaplah tenang di dalam Tuhan kita Yesus Kristus. Di dalam pembacaan kita pada hari ini, Yesus telah menenangkan badai yang melanda sehingga hal itu telah menghairankan murid-murid-Nya (ayat 27). Tuhan mungkin tidak memberikan jawapan yang sama di dalam setiap permasalahan yang kita hadapi. Tuhan memang menolong, tetapi pertolongan-Nya tidak selalu dalam bentuk dan pakej yang kita kehendaki. Pertolongan-Nya juga tidak selalu hadir pada waktu yang kita harapkan. Semuanya harus terjadi sesuai dengan kehendak dan rancangan-Nya sendiri.

Satu hal yang pasti, Tuhan sangat mengerti dan mempedulikan kita. Apa pun yang terjadi di dalam hidup kita, itu tidak akan mengubah hakikat bahawa kita anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya. Sebagai orang-orang beriman, kita hanyalah pengembara di bumi ini yang sedang mencari negeri tanahair kita. Kita tidak selalu memikirkan tentang hal-hal di dunia ini. Sebaliknya kita merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga (Ibrani 11: 13-16). Kiranya berkat kasih Bapa, anugerah Tuhan kita Yesus Kristus dan persekutuan Roh Kudus menyertai kita sampai selama-lamanya. Amin.

Monday, May 4, 2020

NORMA BARU PELAYANAN GEREJA

Shalom! dalam nama Tuhan kita Yesus Kristus. Selamat datang ke laman interaktif SIB Pekan Kota Marudu. Laman ini bertujuan untuk menjadi salah satu daripada wadah interaktif pelayanan maya gereja ini. Ia juga menjadi one stop center bagi pelayanan maya yang lain seperti kebaktian online di Youtube dan link ke facebook gereja. 

Seluruh dunia pada ketika ini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Banyak negara yang terkesan dengan penularan penyakit ini sehingga melaksanakan lockdown. Negara kita Malaysia juga tidak terkecuali. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 17 Mac 2020 yang lalu, gereja di seluruh negara tidak dapat mengadakan kebaktian secara nyata di gereja.

Keadaan ini telah mendorong setiap gereja menggunakan apa sahaja medium komunikasi untuk meneruskan pelayanan. Kebaktian online di Youtube dan facebook telah diaktifkan oleh banyak gereja. Ada juga yang mengadakan perbincangan dan pertemuan doa online di aplikasi zoom dan sebagainya. Secara positifnya pandemik ini telah merangsang kreativiti para pelayan Tuhan di dalam pelayanan.

Gereja SIB Pekan Kota Marudu juga tidak ketinggalan mengaktifkan pelayanan maya ini agar para jemaat tidak menjadi domba-domba yang terbiar tanpa pemeliharaan gembala. Inilah norma baru pelayanan gereja yang bertujuan menyuburkan semula semangat dan komitmen anak-anak Tuhan untuk terus bertumbuh dalam iman. Segala kemuliaan bagi Tuhan kita Yesus Kristus.