Oleh Dkn. Frances
Delinting
PENDAHULUAN
Pandemik Covid-19 yang sedang membadai hampir di serata dunia
ketika ini telah mengejutkan manusia betapa dasyatnya kesan pukulan yang telah
menimpa kepada setiap mangsanya. Kita juga mendengar bermacam-macam kaedah yang
diamalkan samada berupa kawalan ataupun rawatan bagi membendung gelombang
penularannya. Hal ini memberi wake up call kepada kita betapa
gerunnya impak yang yang melanda. Sementara vaksin masih dalam kajian dan belum
berjaya dihasilkan, selama itulah manusia perlu hidup dengan berwaspada, bak
slogan-slogan dalam media seperti #StaySafe, #StayAtHome, #StayAlert dan
sebagainya.
Gereja juga tidak terkecuali mengalami impak daripada SOP
kawalan pergerakan, sosial distancing dan peningkatan tahap
kebersihan diri diperkenal sebagai langkah yang harus dipatuhi dan diamalkan
oleh setiap lapisan masyarakat bagi membendung penularan. Keadaan ini
menyebabkan semua gedung tumpuan awam, khususnya gedung-gedung keagamaan
seperti gereja, tokong, kuil, mahu pun masjid serta surau-surau menjadi kosong.
Sebagai orang percaya, apakah tanggapan kita terhadap badai
seumpama ini? Apakah respon iman yang harus dilakukan? Apakah perbezaan ketara
bagi orang percaya dalam menangani badai hidup berbanding mereka yang di luar
sana? Alkitab mencatatkan, Ayub pernah mengalami masa-masa yang paling sukar,
membadai hampir seluruh kehidupannya. Tetapi Ayub nemilih untuk tetap setia di
dalam TUHAN. Sesuatu yang menarik untuk diteliti ialah kekuatan nadi
ketabahannya untuk kekal taat. Ternyata Ayub mempunyai pandangan yang tepat
tentang hikmat dan kedaulatan TUHAN.
Yesaya 40:31 (AVB) “Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN
akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti
burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan
berjalan dan tidak menjadi lesu”. Saya mengajak teman-teman seiman
untuk merenung sejenak tentang hikmat kebesaran ciptaan TUHAN daripada seekor
burung rajawali menanggapi badai, mengharungi badai seperti yang dibicarakan
oleh tokoh-tokoh iman di dalam Alkitab. Sebagai manusia yang memiliki anugerah
akal fikiran melebihi ciptaan yang lain, kita lebih berhikmat untuk mengolah
setiap rahsia yang terkandung. Bagaimanakah kita dapat mengharungi badai bagai
rajawali?
1. PANDANGAN YANG JELAS
Ayub 39:29 (AVB) “Dari situ ia mengintai makanannya, matanya
memandang dari jauh.” Salah satu keistimewaan
pada burung rajawali ialah ketepatan deria penglihatan sejauh 2 kilometer
jaraknya. Sesuatu yang sukar dilihat oleh makhluk lain termasuk manusia. Sudah
tentu dengan kelebihan ini, burung rajawali tidak begitu sulit mencari
mangsanya berbanding pemangsa lain sebab dia boleh merancang strategi lebih
awal sebelum kehadirannya dikesan. Demikian juga halnya ketika badai melanda.
Dengan ketajaman penglihatan, burung rajawali dapat mengetahuinya lebih awal
dan dapat melakukan persiapan untuk mengharunginya. Pemusatan dan sudut arah
akal fikiran kita menanggapi badai hidup dan cara meresponinya amat ditentukan
oleh skop mata kita melihat sesuatu fenomena. Ia dapat dilihat melalui ragam,
reaksi serta cara manusia menghadapi sesuatu badai hidup.
Menurut injil Matius 6:22 “Mata adalah pelita
tubuh. Jika matamu baik, teranglah seluruh tubuhmu.” Sementara Mazmur
119:105 “Firman-Mu itu pelita bagi kakiku dan terang bagi jalanku.” Dari
kedua-dua petikan alkitab ini, ternyata bahawa pencahayaan itu amat penting
sekali untuk membolehkan kita melihat dengan jelas. Kita tidak dapat
mengharungi badai dalam gelap. Tanpa cahaya kita akan
teraba-raba; hanya dapat menjangka tanpa ada pautan yang kukuh. Kita
memerlukan penglihatan yang tajam dan hanya Firman Tuhan sebagai pelita
(terang) yang dapat memberi kita kekuatan iman untuk tetap berpaut pada
janji-janji-Nya. Oleh kuasa firman-Nya kita mampu bertahan dan membawa
kita keluar dari badai hidup.
2. DIPULIHKAN DALAM HADIRATNYA
Ayub 39:28 (TB) (39-31) “Ia diam dan bersarang di
bukit batu, di puncak bukit batu dan di gunung yang sulit
didatangi.” Pemilihan tempat bersarang adalah satu kriteria yang
diutamakan oleh seekor burung rajawali ketika merencanakan pembuatan tempat
perteduhan. Keselamatan anak-anaknya ketika ditinggalkan amat dititik beratkan.
Risiko daripada para pemangsa lain perlu diminimumkan sedapat mungkin. Di celah-celah
bukit batu yang tinggi adalah pilihan yang paling tepat baginya. Tempat ini
juga sangat sesuai bagi membolehkannya melalui proses transfomasi yang harus
dilalui oleh setiap burung rajawali jika ingin mencapai umur maksimum sehingga
70 tahun.
Pada usia 40 tahun, burung rajawali perlu melalui proses yang
sangat menyakitkan. Paruhnya yang melengkung hampir ke leher menyukarkannya
untuk mengoyakkan makanan. Ia harus dipatahkan dengan mematuk-matukkannya pada
bebatuan bukit. Begitu juga dengan cakarnya yang sukar untuk menangkap mangsa.
Ia perlu ditanggalkan untuk memperoleh cakar yang baru. Bulu yang semakin
menebal dan berat menyukarkan pergerakannya. Dia perlu mencabutnya untuk
membolehkan bulu yang baru tumbuh. Suatu proses yang sangat menyakitkan dan
menempatkan dirinya dalam keadaan berisiko. Sebab itulah dia memerlukan sarang
yang ‘sulit didatangi’, iaitu
di celah bebatuan bukit yang tinggi sebagai tempat perlindungan selama 150 hari
proses transfomasi ini berjalan.
Mazmur 23:6 (TB) “Kebajikan dan kemurahan belaka akan
mengikuti aku, seumur hidupku; dan aku akan diam dalam rumah TUHAN
sepanjang masa.” Dalam kehidupan Kristian, hadirat TUHAN
adalah nadi kekuatan, sumber ketenangan dan perlindungan kerana di
situlah kebajikan TUHAN serta kemurahanNya sentiasa mengalir. TUHAN
Yesus telah meletakkan satu dasar kehidupan sebagai teladan, iaitu persekutuan
dengan BAPA sebagai suatu perkara yang menjadi keharusan bagi-Nya.
Markus 6:46 (TB) “Setelah Ia berpisah dari mereka, Ia
pergi ke bukit untuk berdoa.” Hadirat-Nya hanya dapat kita
temui ketika kita mengasingkan diri di tempat teduh atau private
place (bukit) yang jarang dikunjungi oleh orang ramai. Ketika kita
berdialog melalui keluhan-keluhan hati yang terdalam (yang
suami/isteri/anak-anak sebagai orang terdekat pun mungkin belum pernah
mendengar), TUHAN semesta alam akan membalas dengan rhema (Firman) sehingga ada
letusan kuasa, semangat baru dan inspirasi yang menjurus kepada pemulihan.
Yesaya 40:31 (AVB) “Tetapi mereka yang
menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan
terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan
tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu.” Nabi
Yesaya dalam petikan ini telah menggambarkan maksud 'kekuatan baru’ melalui
seekor burung rajawali, iaitu kekuatan yang dihasilkan melalui
proses-proses pembentukan yang cukup perit, memaksanya locked
down selama kira-kira 5 bulan sehingga ia pulih kembali dan
meneruskan hidup selama 30 tahun lagi. Di sudut positif tentang kedaulatan
TUHAN, badai pandemik Covid-19 ini telah mengajar kita untuk menghormati TUHAN
dan menghargai masa bersama keluarga yang mungkin jarang dilakukan sebelum ini.
3. HADAPI BADAI, JANGAN MENGELAK
Tidak seperti burung-burung lain yang panik mencari tempat
perlindungan, rajawali tenang menunggu kedatangan badai. Setelah
mengamati arah datangnya angin badai dengan visinya, sang rajawali yang sudah
bersedia hanya mengembangkan sayapnya dan meluncur di udara. Semakin kuat ribut
melanda, semakin tinggi ia naik ke udara tanpa perlu mengerah tenaga untuk
mengepakkan sayapnya. Cukup hanya dengan melayang ke arah angin yang
bertentangan dan mengembangkan sayap dengan selebar-lebarnya. Bagi rajawali,
kekuatan badailah yang diperlukannya untuk terbang bebas dan lebih tinggi.
Badai adalah media yang tepat bagi kita untuk menguatkan sayap
iman. Mengucap syukurlah ketika menghadapi berbagai-bagai
pencobaan kerana itulah kesempatan kita untuk memanipulasikan kekuatan
badai menjadi tisu-tisu baharu yang akan menguatkan sayap-sayap iman kita. Roma
5:3-4 (TB) “Dan bukan hanya itu saja. Kita malah bermegah juga dalam
kesengsaraan kita, karena kita tahu, bahwa kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan,
dan ketekunan menimbulkan tahan uji dan tahan uji menimbulkan pengharapan.”
KESIMPULAN
Kita memiliki jaminan kekuatan untuk kekal tabah menghadapi
badai hidup bila kita berharap penuh kepada TUHAN semesta alam. Hanya dengan mengandalkan
sepenuhnya hidup kita kepada TUHAN serta siap melalui semua proses yang TUHAN
sediakan, maka kita mampu mengendalikan badai hidup. Jangan menyerah
kepada badai, tetapi harungilah badai bagai rajawali kerana ada Firman sebagai
cahaya penuntun, Firman sebagai manna dan Firman sebagai pembentuk tisu-tisu
iman yang memampukan kita untuk menakluki badai. Tuhan Yesus memberkati kita
semua.